top of page
  • nabalunews

FAM HARAP SOP KUARANTIN 'LEBIH MESRA' BUAT SKUAD HARIMAU MALAYA


25 NOV 2020


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengharapkan satu prosedur operasi standard (SOP) khas kepada pasukan kebangsaan yang akan menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadual bermula Mac tahun hadapan.

Badan induk bola sepak negara itu meminta agar SOP kuarantin selama 14 hari dikaji semula menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk dipanjangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan aksi Kumpulan G melibatkan Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata permintaan itu disebabkan pasukan kebangsaan hanya memiliki tempoh lima hari di antara aksi menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum menjadi tuan rumah berdepan Vietnam pada 30 Mac.


Dalam saingan kelayakan itu, Malaysia berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua, dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Terdahulu satu pertemuan di antara Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan kepimpinan tertinggi FAM serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berlangsung di ibu pejabat MFL hari ini bagi membincangkan perancangan MFL dalam menghadapi musim 2021.

Antara yang dibincangkan adalah mengenai kesan penajaan terhadap Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang tempoh pandemik COVID-19 selain membincangkan kemasukan penonton ke stadium secara berskala jika kes COVID-19 menurun pada masa akan datang.


"Terima kasih kepada KBS atas sokongan kepada bola sepak tempatan sepanjang Liga Malaysia berlangsung pada musim 2020," menurut kenyataan itu. - Bernama

Comments


bottom of page