top of page

FENOMENA AIR PASANG RISAUKAN PENDUDUK TEPI LAUT

Wartawan Nabalu News


13 Jan 2021

OLEH ERDIEHAZZUAN AB WAHID/ METRO


KOTA KINABALU: Fenomena air pasang besar yang berlaku dibeberapa buah daerah di Sabah sejak kelmarin menimbulkan kerisauan terhadap penduduk yang tinggal berhampiran dengan laut.


Antara kawasan yang terlibat dengan air pasang besar ini adalah di sekitar perkampungan Tanjung Aru Baru yang menyebabkan beberapa buah rumah rosak.


Air pasang besar itu turut melimpah ke atas jalan raya di sekitar kawasan Tanjung Lipat menyebabkan warga bandaraya risau selepas rakaman tular di media sosial sejak jam 7 malam tadi.


Tinjauan mendapati, pengguna jalan raya dilihat berhenti ditepi jalan bagi melihat sendiri dan merakaman fenomena berkenaan.


Selain itu, beberapa kawasan di Sandakan dan Pekan Kecil Menumbok turut difahamkan terjejas dengan fenomena air pasang besar ini.



Salah seorang penduduk di Menumbok, Abdul Rahman Mohd Taib ketika ketika dihubungi berkata, air pasang besar itu mula naik sekitar jam 10 malam tadi namun ia mula surut selepas satu jam kemudian.


“Buat masa ini tiada rumah terlibat namun air pasang memang berlaku tadi dan ia juga bergantung kepada cuaca, jika ada ombak besar selalunya ada rumah yang akan terjejas,”katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Amir Zudi Hashim berkata, kejadian air pasang, angin kencang dan laut bergelora menyebabkan di perairan Sabah menyebabkan berlakunya limpahan air di persisir pantai.


Katanya, fenomena itu menyebabkan berlaku limpahan air laut sehingga ke pesisir pantai selain disebabkan faktor dasar pantai itu sendiri yang turut mempengaruhi keadaan berkenaan.


"Kita tidak boleh menjangkakan tempoh fenomena ini berlarutan namun keadaan biasanya menjadi normal beberapa jam selepas itu dan bagi air pasang di sini, mungkin akan surut selepas jam 10 malam ini.


"Kadar kenaikan paras air juga bergantung kepada keadaan semasa, jika air pasang makin tinggi maka limpahan berlaku juga semakin banyak," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sehubungan itu, Amir Zudi turut menasihati orang awam khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran supaya tidak menghampiri kawasan pantai bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.


Katanya, pihak meteorologi juga akan terus memantau keadaan cuaca dan membuat kenyataan makluman dari semasa ke semasa.



Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page