• Wartawan Nabalu News

FOKUS KEPERLUAN RAKYAT KADAMAIAN, BUKAN FOKUS LAWAN POLITIK: EWON


Dewan Serbaguna Kg.Melangkap yang terbiar bertahun-tahun sebelum Ewon menjadi Adun Kadamaian, kini tersergam indah.

10 Mac 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berpendapat adalah wajar bagi UPPM Kadamaian dan parti-parti politik mewakili kerajaan memfokus kepada membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat di DUN itu daripada melarang penggunaan dewan tersebut khususnya parti pembangkang.


Beliau berkata, semasa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal, penggunaan kemudahan dewan oleh parti politik pembangkang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.



"Saya dan semua Ahli Jemaah Menteri ketika itu menyokong agar kemudahan dewan masyarakat dan balai raya boleh digunakan termasuk oleh parti politik pembangkang. Mereka hanya perlu memohon dan membayar sewa.


Ewon melawat Dewan Terbuka Kg.Tolus.

"Itulah dasar yang digunakan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal. Malah, seawal Jun 2018, iaitu sebulan selepas beliau menjadi Ketua Menteri, beliau telah mengumumkan kepada media berkenaan dasar baharu tersebut.


"Sebab itulah parti-parti politik pembangkang dapat menggunakan kemudahan tersebut untuk menganjurkan program-program mereka seperti mesyuarat agung," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas surat tular yang dikeluarkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, baru-baru ini.



Ewon (kanan) melawat Dewan Serbaguna Kg.Sukang Kelawat yang baru siap tahun ini.

Surat tular larangan penggunaan kemudahan dewan dan balai raya oleh parti politik pembangkang itu ditandatangani oleh PPM Kadamaian yang baru dilantik, Demis Rumanti.


Ewon berkata: "Saya turut difahamkan Ketua Daerah daripada Kadamaian yang baharu, Roslan Duraman telah mengeluarkan amaran sama mengenai penggunaan dewan selepas acara lawatan Munirah di dewan Kg Pinolobuh, iaitu dewan serbaguna baharu yang sempat kita bangunkan dalam tempoh dua tahun lepas".


"Saya membaca maklum balas rakyat terhadap surat tersebut, bukan hanya di kalangan rakyat Kadamaian, tetapi juga rakyat Sabah amnya.


"Seorang dua cuba memberi justifikasi surat tersebut berdasarkan kepada pekeliling yang dikeluarkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah pada September 2016 yang melarang penggunaan premis Kerajaan, dewan masyarakat dan balai raya oleh parti politik pembangkang.


"Ketua Menteri ketika itu ialah Tan Sri Musa Aman dan Menteri KPLB Sabah ialah Datuk Radin Malleh," katanya.



Ewon yang juga Naib Presiden Upko berkata, antara Mei 2018 hingga September 2020, selaku ADUN Kadamaian bersama Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah dan UPPM Kadamaian berusaha sebaiknya membangunkan kemudahan-kemudahan yang diperlukan rakyat Kadamaian termasuk dewan.


"Kami bekerja keras mendapatkan perhatian dan peruntukan daripada Kerajaan. Dalam tempoh yang singkat, kita berjaya membangunkan Dewan Kadamaian Square kerana saya melihat keperluan dan potensinya untuk digunakan bagi pelbagai pengisian aktiviti melangkaui aktiviti dianjurkan parti politik," katanya.


Selain itu katanya, lapan buah Dewan Serbaguna dan 22 Dewan Terbuka atau bangunan balai telah dibina di seluruh Kadamaian


Dewan Kadamaian Square

"Daripada jumlah tersebut, kita telah membina Dewan Serbaguna di Kg Melangkap Baru, kampung sdra Demis sendiri setelah bertahun lamanya dewan usang di seberang rumah beliau tidak dipedulikan.


"Saya juga menyalurkan peruntukan ADUN untuk membina balai PIBG SMK Narinang di mana pengerusinya ialah sdra Demis dan beliau telah memohon kepada saya peruntukan membina balai tersebut. Daripada jumlah itu, tiga buah dewan terbuka dibina di Mukim Melangkap sahaja," katanya.


Ewon menjelaskan, dalam tempoh itu, agensi berkaitan Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Pinjaman Sabah telah membina dewan terbuka di lima buah sekolah rendah di DUN Kadamaian.


"Sebenarnya masih banyak keperluan dewan untuk dinaiktaraf dan dibina baharu di Kadamaian. Itulah yang sempat kita uruskan, dan itulah yang sepatutnya diuruskan oleh UPPM Kadamaian yang ada sekarang," katanya.