• Farah Salim

Formula 40 peratus pemberian hasil Sabah tidak lagi terpakai - Menteri Kewangan



Oleh Farah Salim 15 Mac 2022 KUALA LUMPUR: Formula 40 peratus pemberian hasil Sabah tidak lagi terpakai, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini kerana kajian semula ke atas Pemberian Khas telah dijalankan dan dipersetujui bersama di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 1969 hingga 1973 dan kadar Pemberian Khas tersebut berkuat kuasa sehingga kini. “Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah baru sahaja memuktamadkan rundingan Pemberian Khas selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. “Perkara tersebut akan diumumkan secara bersama oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah dalam masa terdekat,” katanya dalam jawapan secara lisan kepada Ahli Parlimen Penampang Datuk Ignatius Darell Leiking, di dewan rakyat, baru-baru ini. Darell bertanya jumlah cukai yang telah dikutip dari Sabah bagi lima tahun kebelakangan ini dan jumlah yang telah dikembalikan kepada Sabah dalam tempoh masa yang sama seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 112C dan D. Tengku Zafrul berkata, pada awal pembentukan Malaysia, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan (PP) dibaca bersama subseksyen 2 (1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh. “Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa negeri Sabah berhak menerima Pemberian Khas bersamaan dengan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil bersih negeri Sabah yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. “Bagaimanapun formula 40 peratus tersebut tidak lagi terpakai,” katanya.