top of page
  • nabalunews

GAGAL SEDIA PERALATAN REKOD BUTIRAN PELANGGAN KESALAHAN TERTINGGI INGKAR PKP


17 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan menjadi kesalahan tertinggi dengan 88 individu dikenakan tindakan atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 196 individu yang ditahan dan dikompaun, diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka (86), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (lapan) dan lain-lain (14).

Sementara itu, dalam Operasi Benteng semalam, beliau berkata seramai 59 pendatang tanpa izin berjaya ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas. "Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan PKP hari ini.

Beliau berkata anggota penguat kuasa juga telah membuat pemeriksaan di 24 tapak binaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 22 tapak binaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala dua tidak beroperasi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 87,522 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga semalam dan ditempatkan di 76 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA). "Daripada jumlah itu, seramai 9,004 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 532 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 77,986 individu telah dibenarkan pulang," katanya. - Bernama



コメント


bottom of page