top of page
  • nabalunews

GANGGUAN BEKALAN AIR JADI KEKANGAN PELABUR TANAM MODAL DI LABUAN - SENATOR


21 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengatasi segera masalah gangguan bekalan air di Labuan yang berlarutan sejak sekian lama sehingga menjejaskan aktiviti harian lebih 80 peratus penduduk serta kegiatan ekonomi di wilayah itu.

Senator Datuk Bashir Alias berkata keadaan itu berlaku hampir sepanjang tahun dan antara puncanya ialah kejadian paip pecah.

“Kegagalan mengatasi isu ini boleh menjejaskan usaha menarik pelabur menanam modal di Labuan.

“Sehubungan itu saya berharap Kementerian Alam Sekitar dan Air meluluskan peruntukan yang secukupnya pada tahun depan untuk mengatasi segera masalah gangguan sistem bekalan air ini,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta kerajaan menyediakan peruntukan yang besar kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Labuan bagi mengatasi masalah banjir kilat di wilayah itu.

Katanya masalah banjir kilat sering berlaku di lapan kawasan yang sama, khususnya selepas hujan lebat berterusan selama sejam dan keadaan menjadi bertambah buruk apabila bertembung dengan fenomena air pasang besar.


“Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian lebih-lebih lagi apabila air longkang dan air banjir yang berbau busuk melimpah masuk ke dalam rumah mereka,” katanya.

Persidangan bersambung esok. - Bernama

Комментарии


bottom of page