nabalunews
Gangguan IT global tidak jejas perkhidmatan CelcomDigi
20 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Gangguan teknologi maklumat (IT) global yang berlaku semalam tidak menjejaskan operasi serta perkhidmatannya kepada pelanggan, kata CelcomDigi Bhd.
Pengendali rangkaian mudah alih itu dalam satu kenyataan hari ini berkata perkhidmatannya tidak terjejas sepanjang gangguan tersebut dan pelanggannya dapat menggunakan perkhidmatan data dan suara mereka seperti biasa.
“Hanya sedikit gangguan yang dialami dalam perkhidmatan sokongan, seperti keupayaan tambah nilai, yang diselesaikan dengan segera oleh pasukan pemulihan perkhidmatan kami yang menawarkan alternatif kepada pelanggan untuk terus menambah nilai semasa tempoh tersebut.
“Kami akan terus memantau rangkaian dan perkhidmatan sokongan untuk memastikan pelanggan terus menikmati perkhidmatan CelcomDigi dengan lancar,” katanya.
Pelanggan yang berdepan dengan sebarang masalah berhubung perkara itu diminta menghubungi talian sokongan CelcomDigi untuk mendapatkan bantuan (Celcom: 019-601 1111, Digi: 016-2211 800).
Bagi memastikan pelanggan mendapat maklumat yang lebih jelas, syarikat itu menyiarkan pengumuman berkaitan perkhidmatannya di halaman hadapan laman webnya dan di media sosial, dengan maklumat lebih lanjut tentang sokongan yang diberikan semasa gangguan itu di halaman Notisnya.
Bagi mendapat maklumat lebih lanjut pelanggan boleh melayari www.celcomdigi.com.
Comments