top of page

GAWAI NYEBANG, TRADISI UNIK PENDUDUK KAMPUNG SEMPADAN

nabalunews

Gambar fail

3 Jun 2021


KUCHING: Penduduk di Kampung Gumbang, sebuah penempatan di kawasan sempadan berhampiran Serikin, kira-kira 50km barat daya dari sini, mempunyai cara unik untuk meraikan perayaan Gawai, yang sambutannya terjejas lagi pada tahun ini berikutan pandemik COVID-19.

Menggelarkan diri mereka Bigumbang Bidayuh, mereka adalah satu-satunya komuniti yang meraikan ‘Gawai Nyebang’ atau sambutan tradisi selepas musim menuai dengan menganjurkan upacara ritual untuk menenangkan Kamang, semangat suci mereka. Sambutan ini juga dinamakan ‘Gawai Baruk’, kata ketua kampung Atok Derop, 60, yang upacara Gawai itu akan diadakan di ‘baruk’ atau rumah istiadat Bidayuh yang pada masa dahulu digunakan sebagai tempat untuk menyimpan tengkorak milik musuh semasa era memburu kepala tetapi sekarang ia berfungsi sebagai tempat komuniti berkumpul.

Sebagai sebuah penempatan yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia, menjadi tradisi bagi mereka semasa perayaan ini untuk menerima atau melawat penduduk di perkampungan jiran di Kalimantan Barat, Indonesia setiap tahun, tetapi amalan itu terpaksa dilupakan sejak dua tahun lalu.

“Sebenarnya kami merancang untuk menjemput kumpulan kebudayaan Bidayuh dari Desa Umbo di Bengkawan, Kalimantan Barat untuk mengunjungi kami sempena perayaan Gawai tetapi (rancangan itu) terpaksa dibatalkan berikutan pandemik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Atok berkata dalam ingatannya, penduduk Kampung Gumbang pernah melawat penempatan Desa Senebe pada 2013 dan Desa Tangguh pada 2015, yang terletak di Kalimantan Barat dan kunjungan sempadan terakhir sempena perayaan Gawai dilakukan pada 2019 manakala rakan mereka membalas lawatan itu secara berselang tahun.


Memandangkan rentas sempadan telah dilarang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19, lawatan itu telah dihentikan tetapi ia sama sekali tidak melemahkan semangat penduduk Kampung Gumbang untuk meraikan Gawai Nyebang.

Untuk terus menunaikan kewajipan tradisi mereka untuk perayaan itu sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP, hanya Atok dan ketua upacara kampung Anyan Jikan, bersama beberapa ahli jawatankuasa terlibat dalam upacara tersebut.

Jika sebelum ini perayaan itu disambut dalam tempoh yang lama dengan beberapa upacara besar, bermula dengan persediaan menyambut pesta Gawai, upacara Gawai Nyebang itu bermula lewat petang pada hari pertama Gawai dengan upacara doa tradisional di Baruk, diikuti dengan penyembelihan ayam dan dimasak dalam ruas buluh sebelum dihidangkan kepada mereka yang hadir.

“Menjelang 7 malam semuanya selesai. Kami mematuhi SOP tetapi apa yang penting kami masih boleh meraikan (Gawai) dan berdoa untuk keamanan pada upacara itu,” katanya lagi. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page