Geely akan tambah pelaburan di Malaysia - Anwar

11 Okt 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gergasi automotif Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd. (Geely) berhasrat untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia dan mengukuhkan negara ini sebagai hab pengeluar kenderaan untuk pasaran eksport.
Beliau berkata Geely akan melabur lebih banyak dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta penyediaan tenaga mahir tempatan yang selari dengan keperluan industri pada masa hadapan.
“Geely akan meningkatkan penyertaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta penyediaan tenaga mahir tempatan yang selari dengan keperluan industri pada masa hadapan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian ini selepas bertemu dengan pengerusi Geely Li Shufu dan tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang juga rakan kongsi strategik Geely di Malaysia, semalam.
Beliau berkata pertemuan tersebut merupakan bukti bahawa Geely menyusul pelaburan komited berjumlah RM32 bilion yang diumumkan beliau sebagai sebahagian daripada hasil lawatan rasminya ke China pada akhir Mac tahun ini.
“Moga yang dirancang ini akan membuahkan hasil kepada ekonomi negara, Insya-Allah,” katanya.
Comments