• Wartawan Nabalu News

GEM UPKO Beluran berjaya kumpul 85 pain darah


Felix dan Emmanuel bersama para penderma darah.

18 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TELUPID: Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Beluran berjaya menganjurkan Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan (Kanser dan Talasemia), di Dewan IPS Telupid.



Ketua Bahagian UPKO Beluran Felix Joseph Saang berkata, usaha murni itu perlu diteruskan bagi membantu para pesakit yang memerlukan bekalan darah.


“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kempen ini dan juga kepada para penderma darah. Ini amat penting untuk membantu para pesakit yang menghidap penyakit berkaitan darah seperti hemofilia, anemia dan talasemia.


“Mereka yang menghidap penyakit itu amat memerlukan bekalan darah untuk menjalani kehidupan seperti biasa, kerana tanpa bekalan darah yang berterusan, boleh mengundang maut,” katanya ketika berucap merasmikan kempen itu di sini, baru-baru ini.


Felix dan Emmanuel bergambar bersama GEM UPKO Beluran yang menjayakan program itu.

Sementara itu Ketua GEM UPKO Beluran Emmanuel Atin berkata, pihaknya mensasarkan untuk mengumpul 100 pain darah tetepi hanya berjaya mengumpul 85 pain.


“Seramai 122 orang yang mendaftar untuk menderma darah tetapi hanya 85 orang yang layak,” katanya.



Beliau berkata program itu bertujuan membantu Pusat Darah Negara melalui Jabatan Perkhidmatan Transfusi Darah mendapatkan bekalan darah yang mencukupi untuk pesakit yang memerlukan terutamanya pesakit Talasemia di negeri ini.



“Saya juga berharap melalui program seumpama ini akan meningkatkan lagi kesedaran kepada masyarakat khususnya di kawasan Telupid mengenai kepentingan menderma darah,”’ katanya.



Program dua hari itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Talasemia Negeri Sabah, Jabatan Transfusi Darah Negeri Sabah, Angels United (Foodbank Telupid), Rela Telupid dan Persatuan Penderrma Darah.