top of page
Wartawan Nabalu News

UNDI 18: GEM UPKO KESAL KENYATAAN TIMBALAN MENTERI BELIA DAN SUKAN


Maxolvin Sintore

16 Feb 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Pergerakan Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia kesal dengan pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang seolah-olah tidak menghormati peranan belia di Malaysia.


Ketua Exco Generasi Muda UPKO Malaysia, Maxolvin Sintore berkata Parlimen telah meluluskan undang-undang pada Julai 2019 yang membolehkan golongan belia berumur 18 tahun mengundi dan kini hanya menunggu untuk diwartakan.

Oleh itu, katanya adalah tidak wajar jika ada pihak yang cuba menidakkan hak belia 18 tahun untuk menunaikan tanggunjawab sebagai pengundi.


"Kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia itu mencerminkan mentaliti beliau yang tidak sensitif dengan kebolehan dan hak-hak golongan belia di negara ini termasuklah hak mereka untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan," katanya kepada Nabalu News.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia itu baru-baru ini.


Maxolvin berkata, belia harus dilibatkan secara langsung sejak usia muda dalam menentukan hala tuju negara.

"Pendedahan dan penglibatan awal golongan belia dalam menentukan dasar-dasar negara sangat penting kerana mereka bukan saja bakal pemimpin masa hadapan malah pemimpin masa kini.


"UPKO sebagai contoh, telah mengiktiraf golongan belia sebagai pemimpin dengan menubuhkan satu sayap yang dulunya dipanggil sebagai Komulakan UPKO dan kini dijenamakan semula sebagai Pergerakan Generasi Muda UPKO atau GEM UPKO yang mana umur bagi ahli sayap ini bermula daripada 18 tahun," katanya.


Katanya lagi, GEM UPKO diberi ruang dan peluang menentukan dasar-dasar parti dalam membawa kemajuan kepada Sabah khasnya dan Malaysia amnya secara langsung dan tidak langsung.


"Mewakili GEM UPKO Malaysia, saya sangat kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang seharusnya membela nasib belia namun berfikiran dan bertindak disebaliknya," kata Maxolvin.

Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.


Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, belia berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.


Comments


bottom of page