• Wartawan Nabalu News

GEM UPKO Tuaran akan perkukuh jentera parti hadapi PRU akan datang


Jainysius (duduk tengah) bergambar bersama barisan ahli jawatankuasa GEM UPKO Tuaran.

13 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Pergerakan Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tuaran akan memperkukuhkan jentera dan kepimpinan generasi muda kawasan itu bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Ketuanya Jainysius Sipan berkata, GEM juga akan turun ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) atau cawangan untuk memberikan penerangan kepada golongan muda agar lebih memahami perjuangan parti.


“Golongan muda berusia 18 tahun dan keatas yang didaftarkan secara automatik layak mengundi pada PRU akan datang.



“Sebab itu, kita telah menyusun pelbagai program khusus untuk memberi penerangan mengenai perjuangan parti kepada golongan sasar selain program keusahawanan, kesukarelawanan dan ceramah motivasi untuk pelajar sekolah,” katanya kepada Nabalu News.


Jainysius yang mengekalkan jawatan sebagai Ketua GEM UPKO Bahagian Tuaran bagi sesi 2022-2025 berkata, antara visi dan misi pergerakan itu ialah memperjuangkan suara anak muda.



“UPKO adalah parti yang komited dan konsisten dalam perjuangan demi rakyat dan gabungan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH).


“Saya percaya rakyat akan memlilih untuk bersama-sama dalam perjuangan UPKO dan PH untuk mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan yang sehingga kini masih ‘kucar-kacir’ dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.


Beliau turut mengalu-alukan dan mempelawa golongan muda kawasan Tuaran supaya menyertai UPKO bagi meningkatkan penglibatan dan kesedaran mereka dalam arena politik serta proses pembuat keputusan dan kepimpinan.


Ewon bersalaman dengan anggota parti yang hadir pada mesyuarat itu.

Mesyuarat serentak Pergerakan Pemuda, Wanita dan Generasi Muda UPKO Bahagian Tuaran itu dirasmikan oleh Naib Presiden UPKO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Turut hadir, Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau.