top of page
  • Wartawan Nabalu News

Gempa bumi lemah gegar Semporna, penduduk terkejut


8 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebuah gempa bumi lemah berukuran 2.6 pada skala Richter telah berlaku di Semporna, Sabah pada jam 7.39 malam semalam.


Gempa bumi itu berpunca daripada kedalaman tiga kilometer dan menggegarkan kawasan sekitarnya.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabah berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai gegaran yang dirasai oleh penduduk di kawasan itu, tetapi tiada laporan kejadian tidak diingini.


"Pihak kami tidak menerima sebarang laporan kejadian tidak diingini dan akan terus memantau keadaan di Semporna. Semua pihak termasuk JBPM sentiasa dalam keadaan siap siaga dan penduduk tidak perlu bimbang," kata jurucakap JBPM, menurut laporan Bernama.


Beberapa penduduk yang dihubungi oleh Bernama berkongsi pengalaman mereka ketika gempa bumi itu berlaku.


"Rasa macam dinding rumah saya dilanggar sesuatu, memang kami sekeluarga terkejut dan saya terus dapatkan anak dan isteri sebelum lari keluar rumah kerana ingat ada batu besar langgar rumah. Jiran lain pun lari keluar juga, kemudian ada bagi tahu gempa bumi lemah. Syukur semua selamat," kata peniaga makanan Zahiral Kasman Abdullah, 24, yang tinggal di Kampung Senallang, Semporna.


Kerani syarikat swasta Brenda Mary Joseph, 31, pula berkata, beliau panik dan terus mendapatkan anak-anaknya, sebelum memeriksa kawasan sekitar rumahnya di Kampung Salimbangun, Semporna.


"Bimbang kerana rumah kami amat dekat dengan laut dan berlaku kejadian tsunami. Masa itu terus saya bersama suami serta anak-anak naik kereta dan pergi cari tempat lebih tinggi di kawasan pekan. Harapnya tiada kejadian gempa susulan," katanya.


header.all-comments


bottom of page