top of page
Wartawan Nabalu News

Gerakan koperasi sekolah catat perolehan RM430 juta tahun lepas - Ewon


30 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TANAH MERAH: Sebanyak 2,490 gerakan koperasi sekolah seluruh negara berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM430 juta tahun lepas.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian 2.07 juta anggota gerakan koperasi sekolah ini amat membanggakan kerana kejayaan itu bukan setakat dinilai dan diukur dari segi umur atau kematangan, namun turut mencakupi usaha serta komitmen dalam menjayakan objektif dan matlamat koperasi.


"Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selaku badan pemantau dan agensi berkaitan pembangunan koperasi berjaya mengawal selia serta membimbing koperasi sekolah.


"Saya pasti dengan adanya kesepaduan di antara kementerian serta SKM, pasti gerakan koperasi sekolah akan dapat berkembang dengan maju dan lebih baik lagi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada program sehari bersama warga Kolej Vokasional Tanah Merah dan Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 peringkat negeri Kelantan di Kolej Vokasional Tanah Merah, di sini, hari ini.


Ewon berkata, bagi gerakan koperasi sekolah di Kelantan sahaja, sebanyak RM32.46 juta perolehan dicatat dan menjana aset bernilai RM27.68 juta.


“Saya juga bangga dengan pencapaian Koperasi Sekolah Menengah Vokasional Tanah Merah Berhad atas kejayaan mencatatkan perolehan melebihi RM2.0 juta bagi tahun kewangan koperasi 31 Ogos 2023.


“Angka ini telah menjadi satu aspirasi dan pemangkin semangat kepada koperasi-koperasi lain.


“Saya turut difahamkan, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Bharu Berhad merupakan koperasi sekolah yang pertama mencatat perolehan lebih RM1 juta,” katanya.


Beliau turut menyeru agar gerakan koperasi di negeri ini terus berusaha menjadikan koperasi sebagai satu entiti perniagaan dan ejen pembangunan sosio ekonomi rakyat.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan replika cek bantuan pembangunan SKM bernilai RM50,000 kepada empat koperasi sekolah.


Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaam Kamil Pasir Puteh Berhad menerima bantuan pembangunan sebanyak RM50,000 bagi membeli kelengkapan kedai koperasi serta pengubahsuaian ruang dalaman kedai.


Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh Kuala Krai Berhad juga menerima bantuan RM50,000 bagi membeli kelengkapan kedai koperasi dan ruang stor penyimpanan stok.


Bagi Koperasi SMK Beris Panchor Bachok Berhad dan Koperasi SMK Pengkalan Chepa 2 Berhad, bantuan itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan kedai koperasi dan pengubahsuaian ruang dalaman kedai.


Pada majlis itu Ewon turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada Koperasi Vokasional Tanah Merah Berhad untuk membantu mendapatkan sebuah van bagi mengembangkan lagi perkhidmatan dan perniagaan koperasi.

Comentarios


bottom of page