top of page
nabalunews

Gereja SFC Nambayan, Tambunan Anjur Majlis Makan Malam Amal untuk Kutipan Dana




11 November 2024


TAMBUNAN: Majlis Makan Malam Amal anjuran Gereja St. Frances Cabrini (SFC) Nambayan, Tambunan, yang diadakan baru-baru ini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 umat Kristian dari pelbagai daerah sebagai tanda sokongan padu terhadap usaha gereja dalam mengumpul dana bagi pelbagai keperluan pembangunan dan penyelenggaraan gereja.


Pengerusi penganjur, Noemi Justin, menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua umat dan tetamu kehormat yang sudi meluangkan masa menghadiri majlis ini.


Beliau menyifatkan kehadiran yang memberangsangkan ini sebagai simbol perpaduan dan kekuatan komuniti Kristian setempat.


Majlis makan malam ini yang bermula pada jam 6.00 petang dan berakhir sekitar 10.00 malam, turut menampilkan pelbagai juadah masakan yang disediakan secara gotong-royong oleh Kerasulan Wanita Katolik (KWK) serta Komuniti Kristian Dasar (KKD) Gabungan Nambayan.


Inisiatif ini bukan sahaja memeriahkan majlis, tetapi juga mengeratkan ikatan kerjasama dan semangat kebersamaan di kalangan umat gereja.


Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada artis tempatan, Alister Alai, yang terkenal dengan lagu "Ikan Duyung."


Alister memukau para hadirin dengan beberapa lagu yang dinyanyikan dalam bentuk medley, menambahkan lagi suasana ceria.


Selain itu, pelbagai pengisian pentas lain turut disusun oleh komiti dan kerasulan gereja.


Persembahan yang menghiburkan ini berjaya mengekalkan suasana majlis yang sentiasa meriah, dari awal hingga ke akhir acara.


Majlis ini turut dihadiri oleh tetamu kehormat seperti Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan; Datuk Laurentius Nayan Ambu; serta Sobitun Makajil, Pegawai Daerah Tambunan.


Kehadiran mereka adalah sebagai tanda sokongan terhadap usaha kutipan dana ini, yang secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim antara penganut Kristian di daerah Tambunan.

Comments


bottom of page