• Wartawan Nabalu News

GGPUA BIDAS KESATUAN GURU SABAH SOAL LAMBAKAN GRADUAN PENDIDIKAN


Chonnel George

25 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Sejumlah 4,390 lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Universiti Awam (ISMP UA) dari pelbagai opsyen berharap menjadi pendidik setelah berhempas pulas mengharungi perjalanan ke arah profesion sebagai guru.


Jurucakap Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) Chonnel George berkata, jumlah itu adalah berdasarkan hasil kaji selidik GGPUA setiap tahun.


“GGPUA giat menjalankan kaji selidik setiap tahun bagi meninjau sejauh manakah minat dan iltizam graduan ISMP UA untuk menjadi guru.


“Perkara yang saya nyatakan ini adalah berdasarkan kaji selidik dan bukan tuduhan atau andaian yang tidak bersandarkan kepada sebarang pemboleh ubah yang dikhuatiri boleh merencatkan pandangan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di, sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Kesatuan Guru Sabah Said Saidi yang menyatakan bukan semua graduan pendidikan berminat dalam bidang perguruan.


Said dipetik sebagai berkata: “Memang banyak graduan pendidikan tapi kena ingat bukan semua berminat dengan bidang perguruan. Kita tidak mahu kerjaya guru ini dilihat sebagai pilihan akhir hanya kerana mereka tiada kerja”.


Chonnel berkata, semua graduan ISMP UA sudah melalui banyak peringkat untuk menggenggam segulung Ijazah dalam bidang perguruan.


“Oleh itu saya berharap graduan pendidikan yang dimaksudkan itu tidak merujuk kepada lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Awam.


“Secara peribadi, saya meraikan kegusaran Presiden Kesatuan Guru Sabah dalam urusan pengambilan guru. Namun begitu, beliau perlu sedar bahawa pengajian program pendidikan di Universiti Awam bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan adalah selama empat tahun.


“Mengapa graduan menyambung pelajaran ISMP? Jawapannya adalah mahu menjadi guru. Ini adalah realiti yang kita perlu terima,” katanya.