• Wartawan Nabalu News

GGPUA SAMBUT BAIK PENGAMBILAN GURU SECARA 'ONE OFF'


Chonnel George

21 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) menyambut baik pengambilan pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one off’ untuk mengatasi kekurangan guru khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.


Penggerak GGPUA Chonnel George berkata, langkah proaktif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan menyelesaikan kemelut kekurangan guru di negara ini.


“Pengumuman ini pastinya menggembirakan para graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Awam yang sekian lama menanti diberi peluang mencurahkan bakti untuk nusa dan bangsa,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr.Radzi Jidin bahawa Kementerian Pendidikan akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one off’.


Iklan tawaran akan dikeluarkan pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat akan dibuat bermula Oktober.


Dalam pada itu, GGPUA memberikan beberapa cadangan bagi memperhalusi initipati yang dinyatakan Menteri Pendidikan.


Chonnel berkata, antaranya GGPUA mencadangkan agar graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Awam diserap tanpa mengira opsyen sama ada ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Kebangsaan (SK) atau Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).


“GGPUA juga mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mempertimbangkan opsyen minor bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Universiti Awam (ISMP UA) dan mewujudkan tiga subjek pilihan mengajar di MySPP (portal rasmi permohonan),” katanya.


GGPUA menegaskan agar semua graduan ISMP UA yang masih menantikan penempatan perlu ditempatkan secepat mungkin sesuai dengan keperluan guru yang mendesak membabitkan Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.


Katanya lagi, pengambilan guru dalam kalangan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Awam mampu melancarkan urusan pihak KPM, seterusnya pihak sekolah.


"GGPUA menzahirkan hasrat untuk duduk semeja bersama Yang Berhormat Menteri bagi memperincikan segala mekanisme yang telah diutarakan.


"Kami juga berharap agar pihak kementerian dapat mempertimbangkan segala cadangan kami," katanya.