top of page
  • Wartawan Nabalu News

Golongan B40 Tambunan terima lesen motosikal percuma melalui program MyLesen


7 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMBUNAN: Sebanyak 442 orang daripada golongan B40 di daerah Tambunan telah mendapat lesen memandu motosikal secara percuma melalui Program Bantuan Lesen Memandu (MyLESEN) yang dikoordinasi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Program ini bertujuan untuk membantu peserta yang menggunakan motosikal sebagai kenderaan utama untuk ke tempat kerja, berdagang atau bercucuk tanam.


Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, program ini juga dapat mengelakkan peserta daripada ditahan oleh pihak berkuasa kerana menunggang motosikal tanpa lesen.


“Mereka tidak perlu merasa takut atau risau lagi dengan sekatan jalanraya yang diadakan oleh JPJ ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebelum ini, mungkin ada peserta yang pernah menunggang motosikal tanpa lesen atau secara haram, tetapi kini mereka adalah penunggang yang mempunyai lesen sah,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program MyLESEN Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan di dewan terbuka Pisompuruan Square, pada Sabtu.


Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Rospiagos Taha pula berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha JPJ untuk meningkatkan kesedaran dan pematuhan orang ramai terhadap peraturan dan keselamatan jalan raya.


“Penetapan kesemua modul kursus ujian dan latihan adalah setara dengan ketetapan sedia ada bagi membuktikan komitmen serta usaha berterusan JPJ untuk memastikan semua pemandu kenderaan adalah betul-betul kompeten dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Calon-calon di bawah Program MyLESEN telah menduduki tiga modul kursus iaitu Kursus Teori (KPP01), Latihan Praktikal di Litar (KPP02) dan Latihan Praktikal di Jalan Raya (KPP03) selain Ujian Buta Warna,” ujarnya.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Pengangkutan Jalan Malaysia, Ibrahim Mohd Yusof.


Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri, Harris Ali; Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makajil dan Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau, ASP Chung Piaw Joon.

Comments


bottom of page