Gotong-Royong Merdeka Kampung Kiau Nuluh Semarak Semangat Kerjasama Penduduk
- nabalunews
- Aug 1
- 1 min read

Oleh Wartawan Nabalu News: Kidd
1 Ogos 2026
KOTA BELUD: Program Gotong-Royong Merdeka Kampung Kiau Nuluh berlangsung pada Sabtu dengan penyertaan menggalakkan daripada penduduk kampung sebagai usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan menerusi budaya bergotong-royong serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Nuluh yang bermula pada jam 7.30 pagi itu diketuai oleh Pengerusinya, Sokiong Sani.

Bertemakan “Bersama Membersih, Bersama Membangun, Demi Kampung Kita yang Tercinta”, program tersebut memberi tumpuan kepada pelbagai kerja pembersihan termasuk memungut sampah serta membersihkan dewan kampung, padang, bangunan serbaguna komuniti, balai raya dan kawasan tanah milik JKKK.

Usaha itu berjaya mewujudkan persekitaran kampung yang lebih bersih, ceria dan selesa untuk dinikmati oleh seluruh penduduk.
Program berkenaan turut melibatkan penyertaan semua murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun bersama seorang wakil daripada setiap isi rumah. Penglibatan pelbagai peringkat usia bukan sahaja memperkukuhkan semangat kerjasama dan kejiranan, malah mendidik generasi muda supaya menghargai kebersihan, semangat sukarelawan serta tanggungjawab terhadap kemajuan kampung.
Sementara itu, Sokiong merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang memberikan komitmen sepanjang program berlangsung. Beliau berharap amalan gotong-royong seperti ini akan terus menjadi tradisi masyarakat kampung dalam usaha mengekalkan kebersihan, mengeratkan hubungan silaturahim serta membina komuniti yang bersatu padu dan sejahtera.















Comments