• Ilona Andrew

GRS seolah-olah tiada usaha dalam menangani Covid-19 di Sabah - Warisan


Datuk Seri Panglima Shafie Apdal

27 Ogos 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) telah menggesa Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberi komitmen tinggi dalam menangani pandemik jangkitan Covid-19 di Sabah yang kian meningkat.


Presiden parti itu, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal menyifatkan seolah-olah tiada usaha yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah itu untuk mencari jalan agar jangkitan Covid-19 dapat dikawal.


"Sudah berulang kali Kerajaan GRS mendakwa situasi terkawal tetapi mengakui bekalan vaksin tidak mencukupi. Pada masa sama, semakin ramai dijangkiti Covid-19 dalam kadar yang mencanak naik. Lebih teruk lagi apabila kanak-kanak kecil dan bayi turut termasuk dalam statistik tersebut.


"Sebagai kerajaan yang memerintah, seolah-olah tiada usaha yang dilakukan untuk mencari apa sahaja jalan memastikan rakyat Sabah divaksinasi.


"Tiada gesaan daripada mereka untuk meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penghantaran vaksin ke negeri ini," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shafie, beliau dimaklumkan bahawa penggunaan ventilator untuk pesakit berumur 60 tahun ke atas amat terhad kerana keutamaan diberikan kepada pesakit muda yang mempunyai peluang sembuh lebih tinggi.


Oleh itu, beliau berkata kerajaan sepatutnya mampu untuk membeli lebih banyak mesin bagi menyelamatkan nyawa.


Beliau juga menyarankan agar lebih banyak pusat rawatan dibina di Kem Tentera Lok Kawi dan Pelabuhan TUDM Sepanggar.


Tambahnya, ruang di kedua-dua lokasi ini lebih dari cukup untuk dijadikan hospital alternatif, malah mereka juga mempunyai doktor sendiri untuk membantu.


"Saya difahamkan lebihan katil di Hospital Queen Elizabeth 1 telah diletakkan di bilik bedah namun masih terlalu panjang senarai pesakit yang menunggu rawatan:


"Beberapa pesakit yang kritikal dan diberi bantuan oksigen di atas katil pula ditempatkan di kawasan terowong hospital untuk menunggu dimasukkan ke ICU.


"Keadaan ini menyedihkan, sangat menyedihkan. Rakyat Sabah tidak patut dilayan seperti ini. Tiada sesiapa pun yang sepatutnya dilayan sedemikian. GRS perlu membuat keputusan mutlak sama ada nyawa rakyat Sabah perlu diuatamakan terlebih dahulu," tegasnya.


Sehingga semalam, 26 Ogos 2021, jumlah kes positif mencecah 3,487 manakala statistik menunjukkan sejak bulan lalu purata mingguan jangkitan di Sabah meningkat sebanyak 266 peratus.