GUNUNG KINABALU TERUS JADI TARIKAN PELANCONG

5 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Gunung Kinabalu tetap menjadi tarikan utama pelancong meskipun negara masih belum bebas sepenuhnya daripada wabak Covid-19.
Sebaik sahaja kerajaan negeri memutuskan untuk membuka semula pusat pelancongan Taman Negara Kinabalu, sekurang-kurangnya 11 orang yang telah membuat tempahan awal bertekad meneruskan misi menawan puncak Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara.
Penolong Pengarah Taman Kinabalu Yassin Miki berkata, Taman Kinabalu menerima banyak tempahan awal mendaki Gunung Kinabalu pada 7 Disember ini, bagaimanapun ekoran wabak Covid-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ramai yang membatalkan hasrat mereka.

“Sehingga tengahari hari (Sabtu), 11 orang masih mengekalkan tempahan. Tempahan lain sudah lama dibatalkan dan mereka meminta wang dikembalikan.
“Kebanyakan yang membuat tempahan untuk mendaki Gunung Kinabalu pada Isnin ini adalah orang tampatan dari Sabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengenai persediaan Taman Kinabalu menerima pengunjung selepas pembukaan semula pusat pelancongan itu, Yassin berkata, mereka sudah lama membuat persediaan termasuk menyelenggara kemudahan-kemudahan pelancongan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun aktiviti pelancongan dibenarkan, orang ramai harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.
Sementara itu pada Rabu lalu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun dipetik sebagai berkata, aktiviti mendaki Gunung Kinabalu akan dibuka semula secara berperingkat bermula Isnin ini.
“Sebagai permulaan, kapasiti pendaki yang dibenarkan adalah tidak melebihi 50 peratus berbanding kapasiti pendaki yang dibenarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Comments