top of page

Hampir 50,000 warga Indonesia di Sabah telah divaksin

Wartawan Nabalu News

Tun Juhar (tengah) menerima senaskah Tafsir Al Misbah sebagai cenderakenangan daripada Krishna.

29 Sept 2021


KOTA KINABALU: Hampir 50,000 warga Indonesia di negeri ini telah menerima vaksin Covid-19, kata Konsul Jeneral republik Indonesia, Bapak Krishna Djelani.


Sehubungan itu beliau menyeru warga Indonesia yang berada di Sabah dan belum menerima vaksinasi Covid-19 supaya segera mendaftar.


Beliau berkata, langkah itu penting bagi menyokong program Kerajaan Negeri Sabah mencapai imuniti kelompok.


"Saya sangat menghargai apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sabah terutama vaksinasi Covid-19. Setakat ini, hampir 50,000 warga Indonesia di negeri ini sudah divaksinasi.


"Semalam, dalam pertemuan saya bersama Ketua Menteri Sabah juga menyentuh isu vaksinasi terutama golongan yang takut divaksin ekoran masalah dokumen,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan perpisahan terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.


Krishna (kiri) menerima replika Gunung Kinabalu sebagai cenderakenangan balas daripada Istana Seri Kinabalu.

Krishna memberi jaminan bahawa vaksinasi itu untuk semua sama ada yang mempunyai dokumen atau tidak bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 kepada rakyat Sabah.


"Oleh itu, saya menyeru kepada warga Indonesia kerana Kerajaan Sabah telah menyediakan fasiliti vaksin secara percuma dan kita harus mendukung program dari Kerajaan Sabah untuk menciptakan herd immunity," katanya.


Krishna yang telah berkhidmat selama lima tahun di Sabah dan berakhir esok, turut mendedahkan, jumlah warganya yang bekerja secara sah di Sabah kini mencapai 167,000 orang.


Beliau mengandaikan bilangan tersebut tidak termasuk golongan yang tidak mempunyai dokumen secara sah.


Mengulas mengenai hubungan bilateral di antara kerajaan Indonesia dan Malaysia, beliau memaklumkan, kedua-dua buah negara bekerjasama rapat dari segi pembangunan sosio-ekonomi, keselamatan, kesihatan dan sebagainya sejak sekian lama./ Penerangan


留言


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page