top of page
  • Wartawan Nabalu News

HANYA PELAJAR SPM/STPM MASUK ASRAMA JALANI UJIAN COVID-19


27 JAN 2021


Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Hanya pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tinggal di asrama sekolah diwajibkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum masuk asrama.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ia tertakluk kepada surat pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada 12 Jan lalu.


“Berkenaan pelaksanaan saringan Covid-19 ke atas pelajar SPM dan STPM yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi melalui surat pekeliling bertarikh 12 Januari 2021, arahan ini hanya tertakluk kepada pelajar-pelajar yang tinggal di asrama sekolah sahaja.

“Susulan saranan saringan ke atas semua pelajar sebelum memulakan persekolahan, buat masa ini kapasiti pemeriksaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah tidak dapat merangkumi keseluruhan jumlah pelajar sekolah,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata demikian ketika ditanya sama ada semua pelajar SPM/STPM termasuk pelajar yang tinggal di luar wajib untuk menjalani saringan Covid-19 atau hanya pelajar masuk asrama.


Ini kerana ada ibu bapa bimbang sekiranya terdapat pelajar yang tinggal di luar asrama positif Covid-19 tetapi tidak bergejala dan mungkin akan menjangkiti pelajar lain yang tinggal di asrama.


Katanya lagi, kerajaan negeri akan mencari pendekatan terbaik untuk memastikan risiko jangkitan Covid-19 di kalangan pelajar dapat dikurangkan apabila memulakan sesi persekolahan kelak.


"Sehubungan itu, satu pendekatan yang lebih baik diperlukan untuk mengurangkan risiko jangkitan apabila memulakan sesi persekolahan kelak.


“Ibu bapa dan penjaga disarankan supaya sentiasa membuat pengawasan terhadap simptom ke atas anak-anak mereka, dan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya bergejala," katanya.

bottom of page