Hanya pelanggan dan pekerja lengkap vaksin dibenar masuk pasar raya, kedai makan
12 Ogos 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Semua pelanggan dan pekerja Supermarket dan Hypermarket yang telah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera sahaja dibenarkan memasuki premis.
Bagi premis makanan pula, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, para pemilik premis makanan juga harus memastikan hanya pelanggan dan pekerja yang telah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 dibenarkan memasuki premis.
“Ia adalah antara prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bagi seluruh negeri Sabah yang dikemaskini hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, pergerakan pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berumur 18 tahun dibenarkan merentas daerah dalam negeri dengan syarat mendapat kebenaran PDRM dan mengemukakan dokumen berkaitan.
Mengenai aktiviti pelancongan dan kebudayaan, Masidi berkata, bagi tujuan pelancongan domestik, operasi hotel dan penginapan dibenarkan bagi pelanggan dalam daerah yang sama dengan syarat pelanggan dan pekerja hotel atau homestay telah lengkap divaksin.
“Operasi hotel dan penginapan dibenarkan bagi tujuan kuarantin, pengasingan dan pekerjaan bagi perkhidmatan perlu. Tetamu perlu berada dalam bilik penginapan dan tempahan makanan secara room service,” katanya.
Bagaimanapun katanya, penggunaan kemudahan penginapan seperti gymnasium, kolam renang, dewan makan, bilik seminar dan lain-lain tidak dibenarkan.
“Semua destinasi dan tapak pelancongan termasuk di luar bandar dan aktiviti pelancongan juga tidak dibenarkan beroperasi.
“Hanya aktiviti melibatkan Gelembung Perjalanan (travel/ bubble) dengan syarat pelancong, pengusaha pelancongan dan pekerja hotel/ homestay telah lengkap divaksin dan mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (Covid-19),” katanya.
Comentários