Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan petrol RON97 turun 15 sen mulai 12 September hingga 18 September
11 September 2024
KUALA LUMPUR: Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan petrol RON97 turun sebanyak 15 sen bagi tempoh 12 September hingga 18 September ini.
Dengan penetapan ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.01 seliter dan petrol RON97 ditetapkan pada RM3.25 seliter.
Nanakala RON95 kekal pada paras RM2.05 liter.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengurangan harga runcit dua bahan api itu seiring dengan penurunan harga pasaran minyak mentah dunia dan pengukuhan ringgit.
“Sejak 8 Ogos 2024 sehingga kini, kerajaan telah menurunkan sebanyak 34 sen seliter bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit petrol RON97 turun 22 sen,” kata kenyataan itu.
MOF memaklumkan bagaimanapun harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
Menurut kenyataan itu, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan adalah menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global dan menyokong kestabilan harga bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Comments