- Farah Salim
Harga siling ayam, telur, subsidi minyak masak dalam botol dimansuhkan mulai 1 Julai

21 Jun 2022
Oleh Farah Salim
PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga kawalan siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak tulen dalam botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.
Bagaimanapun katanya, minyak masak dalam paket satu kilogram masih diteruskan pada harga RM2.50 sepeket.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dalam jangka masa panjang dan dapat menstabilkan harga.
“Harga ayam akan diapungkan dan akan tertakluk kepada kuasa pasaran. Golongan memerlukan akan dibantu nanti dengan bantuan wang tunai bersasar. Maklumat lanjut mengenai bantuan itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus dengan pemegang taruh industri ayam di Putrajaya, hari ini.
Katanya lagi, sebelum ini, kerajaan telah mengawal harga siling ayam dan telur ayam bagi membantu meringankan kenaikan harga barangan.
Dalam sesi libat urus hari ini, Nanta berkata pemain industri ayam memberi jaminan bahawa kenaikan harga ayam tidak akan naik secara mendadak.
Beliau berkata, sekiranya ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara berlebihan, KPDNHEP akan mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada.
‘KPDNHEP akan menggunakan akta anti pencatutan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap pemain industri jika melanggar peraturan sedia ada,” katanya.