top of page
  • Wartawan Nabalu News

HARGAI APA YANG ADA, BANTU ORANG SUSAH: SUKARELAWAN WANITA


Shainim ketika menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung.


4 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


Melihat kesukaran hidup golongan yang pernah dibantu menjadikan sukarelawan wanita, Shainim Epin lebih mensyukuri dan menghargai apa yang ada dan bertekad untuk terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

Bagi wanita Dusun berusia 41 tahun dari kg.Gaur Kota Belud itu, kesukarelawanan merupakan satu amalan murni yang mana seseorang itu tidak mengharapkan balasan untuk memberikan tenaga dan waktunya demi mencapai objektif.


“Apa yang menarik bekerja sebagai sukarelawan ialah, kita dapat mengurangkan tekanan dan bosan, meningkatkan jaringan kenalan,” kata Shainim kepada Nabalu News.


Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, sejak lima tahun bergiat sebagai sukarelawan, tugas paling mencabar ialah semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu.


“Semasa PKPB dan PKPD, saya berpeluang menyertai urusetia UPPM bahagian Kadamaian untuk menghantar dan mengagihkan bantuan makanan melalui MPKK setiap kampung dan menghantar bakul makanan kepada golongan sasar yang terpilih.

“Sentiasa ada perasaan takut semasa menjalankan tugas semasa pandemik Covid-19 tapi dengan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut prosedur operasi standard (SOP), syukur saya masih sihat sampai sekarang,” katanya.


Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Belud dan Petugas Homehelp DUN Kadamaian itu berkata, sebelum wabak Covid-19 melanda, beliau mengemukakan permohonan bantuan kebajikan untuk dua warga emas dari Kg.Purak Ogis Kota Belud.

“Saya juga membantu Penyelaras Kebajikan Daerah menghantar bakul makanan kepada mereka yang dikurantin di rumah.


“Selain itu saya membantu urusetia pejabat daerah membungkus bakul makanan dan mengagihkan bakul makanan kepada mereka yang berdaftar dalam e-kasih di kawasan Kadamaian,” katanya.

Shainim berkata, beliau juga terlibat membantu mangsa banjir kilat di pusat pemindahan mangsa banjir kawasan Kota Belud pada Jun 2020.

“Saya turut melawat klien Homehelp saya untuk memastikan mereka dalam keadaan baik semasa pandemik ini. Sesungguhnya, mereka merindui kehadiran saya,” katanya.


Menurutnya, tugas sukarelawan bukan mudah kerana segala mental, fizikal, kewangan, masa dan tenaga menjadi cabaran apa lagi semasa pandemik Covid-19.



Sehubungan itu, Shainim berharap lebih ramai golongan muda bergiat aktif sebagai sukarelawan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, kita sentiasa mensyukuri apa yang ada, dapat merasakan hidup lebih bermakna kerana saya tidak bersendirian.

“Boleh jadi, saya senang hari ini, jadi saya pilih untuk bantu orang lain. Boleh jadi esok atau ‪lusa, saya ditimpa musibah, orang lain pula akan menolong saya,” jelasnya.



Beliau berkata, bekerja sebagai sukarelawan tidak seperti seorang peniaga kerana ia tidak membawa apa-apa keuntungan.

“Kita cuma dapat memperolehi keuntungan berkat daripada Tuhan. Inilah manfaat yang tidak ternilai harganya.

“Orang lain tidak melihat hasil apa yang saya lakukan, tetapi Tuhan menilai usaha saya kerjakan,” katanya.



Comments


bottom of page