top of page
nabalunews

Harimau Malaya sekadar kongsi mata dengan Kemboja


9 Disember 2024


PHNOM PENH : Malaysia memulakan kempen Piala ASEAN 2024 dengan kurang meyakinkan apabila sekadar seri 2-2 dengan Kemboja pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh di sini pada malam Ahad.


Malaysia mendahului di separuh masa pertama pada minit ke-35 menerusi pemain Sabah FC, Stuart John Wilkin, yang berjaya menebus kegagalan percubaan pertamanya hanya selepas lapan minit permainan bermula.


Malaysia hampir menambah jaringan pada minit-minit akhir separuh masa pertama tetapi kelemahan penyudah di depan gawang, menghampakan skuad Harimau Malaya.


Memasuki separuh masa kedua, Kemboja menyamakan kedudukan menerusi jaringan Coulibaly Abdel Kader pada minit ke-52, sekali gus mengubah tempo permainan.


Kemboja bermain lebih bersemangat selepas itu dengan sorakan padu penyokong tuan rumah dan melancarkan serangan demi serangan ke kubu Malaysia.


Akibatnya, Nicolas Doeung Taylor hampir menambah gol buat Kemboja apabila percubaannya singgah di jaring sisi gawang Malaysia.


Kemboja akhirnya mendahului 2-1 pada minit ke-60 menerusi Ty Sa yang menyempurnakan peluang di dalam kotak penalti.


Malaysia kembali mengikat kedudukan pada minit ke-74 selepas kesilapan penjaga gol Kemboja, Dara Vireak, yang membuka ruang buat Fergus Tierney menyumbat gol penyamaan.


Anak buah Pau Marti Vicente seterusnya akan menentang Timor Leste dalam perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.


Malaysia berada di Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Singapura dan Timor Leste.


Sementara Kumpulan B terdiri daripada Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam.

Kommentare


bottom of page