• Wartawan Nabalu News

Harris tampil beri penjelasan Akta Pembangunan Petroleum


Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh

12 Julai 2022


KOTA KINABALU: Akta Pembangunan Petroleum (PDA) yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 1974 dan sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, kedua-dua Sabah dan Sarawak adalah pihak yang terlibat dengan keputusan yang meluluskan akta berkenaan, jelas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh.


Beliau berkata, Parlimen adalah yang tertinggi dan sebuah institusi dalam Persekutuan.


“Dari segi undang-undang dalam Perlembagaan, ia adalah ‘fait accompli’. Itu undang-undang dan mesti dikuatkuasakan.


“Perjanjian Petronas hanya isyarat baik Petronas. Tiada peruntukan dalam Akta Pembangunan Petroleum bahawa Petronas dari segi undang-undang mesti membayar lima peratus atau 20 peratus kepada mana-mana negeri. Itu sahaja,” katanya dalam laporan akhbar Daily Express, hari ini.


Harris dilaporkan berkata, tanpa mengira sama ada Sabah menandatangani Perjanjian itu atau tidak, secara sah semua minyak dan gas di dalam atau di luar pesisir adalah milik Petronas.


“Sarawak telah pun menandatangani Perjanjian Petronas. Sabah adalah negeri terakhir daripada empat negeri pengeluar minyak berbuat demikian.


“Semua Ahli Parlimen dari Sabah dipilih oleh rakyat Sabah. Ahli Dewan Undangan Negeri juga dipilih oleh rakyat Sabah. Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diberi kuasa secara sah untuk membuat keputusan dan kelulusan untuk dan bagi pihak Sabah.


“Pada masa itu, demi kepentingan terbaik rakyat Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia, kedua-dua wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah menerima isyarat baik Petronas dengan memberikan 5 peratus,” katanya.


Harris mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang Datuk Ewon Benedict (Kadamaian) dan Phoong Jin Zhe (Luyang) yang mengatakan Harris dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan harus menjelaskan kenapa mereka menandatangani Perjanjian Petronas yang memberi Sabah 5 peratus daripada minyak dan gas yang dikeluarkan dari Sabah, iaitu sebahagian daripada PDA.


Kedua-dua Adun Pembangkang itu berkata, PDA adalah satu kesilapan besar, oleh itu Harris dan Pairin harus tampil memberi penjelasan.


Harris berkata berdasarkan fakta-fakta ini Ewon dan Phoong sebenarnya boleh memulakan usul di Dewan Undangan Negeri untuk membatalkan Perjanjian Petronas dan merevolusikan struktur negara Malaysia.


Dalam dokumentari “Double Six: The Untold Stories” yang boleh diakses di Youtube, Harris dipetik sebagai berkata bahawa 5 peratus itu telah dipersetujui dalam perbincangan antara Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Menteri (KM) yang baru dilantik Tun Fuad Stephens di Kuala Lumpur sejurus selepas kemenangan Parti Berjaya ke atas Usno dalam pilihan raya Negeri 1976. Jumlahnya juga sama untuk negeri pengeluar minyak yang lain.


Perjanjian itu sepatutnya ditandatangani oleh Stephens di Kota Kinabalu selepas pulang dari perhimpunan hujung minggu di Labuan.


Bagaimanapun, pesawat yang membawa Stephens dan 10 lagi terhempas pada 6 Jun 1976. Ia ditandatangani oleh Harris yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dan Pairin sebagai saksi 10 hari kemudian.