Hentikan tafsiran salah frasa ‘liberal’ dalam Rukun Negara: Aaron

28 Februari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang meminta semua pihak menghentikan tafsiran salah berhubung maksud frasa liberal yang terdapat dalam cita-cita Rukun Negara.
Beliau berkata, perkataan "liberal" merujuk kepada sikap keterbukaan dan penerimaan (Faham, Hormat & Terima) kepada perbezaan budaya antara kaum dan etnik.
“Rakyat bebas mengamalkan agama, adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan kepentingan perpaduan negara.
“Penerapan nilai-nilai liberal (keterbukaan terhadap perbezaan budaya antara kaum) dalam masyarakat akan membantu mencipta persekitaran yang lebih inklusif, dinamik, dan progresif, serta memberi peluang kepada setiap individu berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negara secara positif,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Aaron berkata, cita-cita Rukun Negara menegaskan prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif.
“Salah satu cita-cita Rukun Negara adalah "menjamin satu cara liberal terhadap atradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak",” katanya.
Beliau menjelaskan Majlis Perundingan Negara yang dianggotai oleh 13 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang kaum dan kepakaran telah menghasilkan Rukun Negara sebagai falsafah negara baharu.
Rukun Negara telah dirangka berdasarkan tujuh tunjang utama yang telah dikemukakan melalui kertas ‘Pillars of Nation’.
Comments