top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hidupkan fungsi kitaran udara luar, elak risiko kekurangan oksigen semasa pemanduan jarak jauh


26 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pemandu dan penumpang yang tidak menghidupkan kitaran udara luaran dalam kenderaan semasa menggunakan penyaman udara berisiko mengalami kekurangan oksigen yang boleh menyebabkan kelesuan dan pengsan.


Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Profesor Dr Wong Shaw Voon fungsi kitaran udara luar tersebut penting untuk memastikan bekalan oksigen mencukupi dalam kenderaan terutama untuk pemanduan jarak jauh.


“Jika tidak menghidupkan fungsi ini, oksigen dalam kenderaan akan berkurangan dan memberi risiko kepada pengguna kenderaan. Ini ditambah dengan perjalanan yang jauh dan sesak semasa perayaan,” katanya.


Beliau memberi contoh kes empat sekeluarga yang pengsan di dalam kenderaan sebelum kereta dinaiki merempuh Plaza Tol Bentong pada Isnin sebagai kemungkinan akibat tidak menggunakan kitaran udara luaran.


“Mereka ada empat orang. Jadi, kadar oksigen yang mereka dapat adalah lagi rendah sebab perlu berkongsi. Tingkap ditutup, butang tidak ditekan, ditambah dengan ruang yang terhad menyebabkan ia berlaku,” katanya.


Beliau menasihatkan pengguna kenderaan untuk menekan butang kitaran udara luaran walaupun ia akan menyebabkan penyaman udara kurang sejuk dan bau dari luar akan masuk dalam kenderaan.


“Ini adalah langkah keselamatan sebelum perkara tidak diingini berlaku. Jika tidak mahu menggunakan kitaran udara luaran, disarankan untuk membuka tingkap agar pengudaraan berlaku dengan baik,” katanya.


Beliau juga berkata, jika pemandu atau penumpang rasa penat semasa memandu, itu bermaksud mereka sudah mengalami kekurangan oksigen dan perlu membuka tingkap segera.


“Kalau memandu dekat, dalam 10 minit sampai, memang tiada masalah. Tapi kalau 10 jam, memang akan membawa masalah. Demi keselamatan, tekan butang tersebut,” katanya.



Comentários


bottom of page