top of page

Himpunan Muslimah Tawau 2025 medan kongsi ilmu dan platform solidariti wanita

  • nabalunews
  • Aug 9, 2025
  • 2 min read

Rina (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sembilan penerima tajaan menunaikan umrah sempena himpunan tersebut.
Rina (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sembilan penerima tajaan menunaikan umrah sempena himpunan tersebut.

9 Ogos 2025


TAWAU: Majlis Himpunan Muslimah Tawau 2025 yang dihadiri lebih 2,000 peserta menjadi medan perkongsian ilmu dan platform solidariti memperjuangkan isu-isu wanita.


Ia termasuk kes kematian Zara Qairina Mahathir yang kini mendapat perhatian di seluruh negara.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, program tersebut membuktikan bahawa perjuangan menuntut keadilan tidak terhad kepada demonstrasi atau kenyataan lantang di media sosial semata-mata.

Menurutnya, perjuangan menuntut keadilan juga boleh dilaksanakan melalui pendekatan ilmiah yang membina kesedaran secara berhemah dan berpaksikan ajaran Islam.


“Kita menyokong usaha mendapatkan ‘justice for Zara’ dengan cara tersendiri melalui pendekatan ilmiah yang berpandukan prinsip syariah.


“Himpunan ini memberi ruang kepada wanita dan ibu untuk menimba ilmu bermanfaat, memperkukuh ukhuwah serta meningkatkan kesedaran agar bertindak secara rasional tanpa dipengaruhi provokasi atau emosi semata-mata,”katanya.


Rina yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika merasmikan himpunan itu di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.


Menurutnya, pendekatan berhemah ini selari dengan tuntutan Islam yang mengutamakan kebijaksanaan dalam menangani isu sensitif, khususnya kes yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.


“Kita mahu wanita bertindak berlandaskan prinsip syariah, bukan sekadar mengikut arus emosi atau pengaruh luar. Kesedaran ini penting supaya suara wanita menjadi suara kolektif yang kukuh dan dihormati,” katanya.


Beliau berharap program seperti ini akan terus menyuntik semangat penggerak komuniti wanita untuk aktif melaksanakan aktiviti keagamaan dan pendidikan, demi melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.


Majlis itu menampilkan Ustazah Marhamah Rosli yang merupakan antara individu lantang memperjuangkan isu arwah Zara dan ulama antarabangsa dari Yaman, Sheikh Niyaz yang mengupas isu semasa berkaitan wanita dan keluarga dari perspektif Islam.


Himpunan tersebut diakhiri dengan bacaan doa selamat khusus buat almarhumah Zara Qairina dan keluarganya yang dipimpin oleh Sheikh Niyaz.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page