HISHAMMUDDIN LAKUKAN KESALAHAN DIPLOMATIK - ANIFAHHISHAMMUDDIN LAKUKAN KESALAHAN DIPLOMATIK - ANIFAH
top of page
  • nabalunews

HISHAMMUDDIN LAKUKAN KESALAHAN DIPLOMATIK - ANIFAH


Datuk Anifah Aman

6 April 2021


PETALING JAYA: Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melakukan kesalahan diplomatik berhubung tindakannya menggunakan istilah ‘abang’ ketika merujuk kepada hubungan antara Malaysia dan China.


Bekas Menteri Luar itu berpendapat, ungkapan digunakan Hishammuddin bukan sahaja tidak sesuai tetapi jelas meletakkan Menteri Luar China, Wang Yi dalam keadaan yang sukar dan memalukan.


“Bahasa badan Wang Yi sendiri telah membuktikannya dan dia dengan cepat mengucapkan ungkapan ‘kita bersaudara’.


“Sebagai diplomat tertinggi Malaysia, Hishammuddin harus lebih berhati-hati dan bijaksana dalam memilih kata atau ungkapannya. Lagipun, seperti kata pepatah, diplomasi adalah barisan pertahanan yang pertama,” katanya dalam kenyataan.


Justeru, Anifah berkata, adalah lebih baik Hishammuddin mengakui kesilapan diplomatik yang dilakukannnya daripada terus membenarkan pemilihan frasa yang salah.


“Memang salah untuk melakukan kesilapan diplomatik tetapi untuk berdebat dan cuba membenarkan kesilapan tersebut jelas menunjukkan watak sebenar individu tersebut,” katanya.


Hishammudin menyebut perkataan ‘abang’ dalam sidang akhbar selepas Malaysia dan China menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi mempromosikan kerjasama era pasca Covid-19.


Namun, tindakannya mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, tindakan Hishamuddin itu yang menyifatkan China sebagai ‘abang’ seolah-olah meletakkan taraf Malaysia hanya sebagai boneka asing.


Kata beliau, perkataan sedemikian bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa dengan sebagai negara yang berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, malah perkataan itu jelas suatu bentuk penghinaan terhadap negara sendiri.

bottom of page