top of page
nabalunews

HPPK2024 rekod potensi pembiayaan lebih RM3 juta, lebih 44,000 pengunjung


Ewon bersama pengurusan tertinggi KUSKOP mengiringi Perdana Menteri melawat reruai pameran pada karnival itu.

4 November 2024


PUTRAJAYA: Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 (HPPK2024) yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Pulau Pinang berjaya menarik lebih 44,000 pengunjung, melebihi sasaran awal 30,000 orang.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ini merupakan rekod terbaik HPPK sejak mula dilaksanakan tahun 2012.


“Tahun ini, HPPK 2024 yang diadakan selama tiga hari (1 hingga 3 November) berjaya merekodkan jumlah potensi pembiayaan terkumpul untuk penjaja dan peniaga kecil pula berjumlah RM3.26 juta.


“Manakala jumlah jualan terkumpul daripada penyertaan lebih 374 usahawan, penjaja dan peniaga kecil dan koperasi pula melebihi RM520,000,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Ewon berkata, HPPK2024 turut mencatatkan sejarah tersendiri melalui peluncuran Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Selain itu katanya, turut diadakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Gabungan Persatuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) dan PERKESO untuk caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri.


“Tahniah dan terima kasih kepada Bahagian Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil (BKPPK) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku urusetia peneraju serta semua agensi dan keluarga besar KUSKOP serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kebangsaan di atas kebersamaan menjayakan HPPK 2024.


“Tema tahun ini, “Penjaja dan Peniaga Kecil Madani: Berdaya Maju, Mampan, Lestari” dicetuskan dengan doa dan ikhtiar agar komuniti penjaja dan peniaga kecil terus maju jaya,” katanya.


Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas iltizam Kerajaan Madani untuk terus memberi fokus kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara bukan hanya menyediakan dana bagi pembiayaan melalui pelbagai agensi, tetapi juga peruntukan untuk menambahbaik infrastruktur terkait kemudahan premis niaga mereka.

Comments


bottom of page