top of page

Hubungan baik antara kaum penting kekalkan keharmonian: Prof Dr.Jayum

Wartawan Nabalu News


8 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Hubungan baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini seharusnya perlu terus dipupuk bagi mengukuhkan keharmonian kaum.


Dekan Pengasas Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains Universiti Pertanian Malaysia Kampus Bintulu Prof Dr.Jayum Anak Jawan berkata, hubungan baik antara semua kaum amat penting bagi menangani isu-isu sensitif yang ditimbulkan pihak-pihak tertentu.


Beliau berkata, bagi menyelesaikan isu-isu sensitif, kerajaan perlu ada pendekatan lebih komprehensif dengan melihat perkara utama iaitu hubungan baik antara semua kaum.


“Bagaimana kita mahu mewujudkan hubungan baik? Kita ada Kementerian Perpaduan Negara yang pernah diterajui oleh pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Sememanjung tetapi isu-isu sensitif masih timbul sejak dahulu lagi yang menyebabkan ketegangan hubungan kaum.


“Oleh itu kita perlu satu pendekatan yang lebih komprehensif untuk menanganinya,” katanya dalam webinar “Arak dan Sensitiviti Borneo, pada Sabtu lalu.


Dr.Jayum berkata: “Saya bukan seorang peminum minuman keras tetapi saya minum Tuak, tidak sampai mabuk kerana Tuak tidak mengawal saya tapi saya mengawal Tuak...itu penting”.


“Ini bukan mempertahankan isu alkohol dan isu Wisky jenama Timah tetapi saya mahu menjelaskan dimana kedudukan Tuak dalam masyarakat Iban,” katanya.


Beliau berkata, dalam masyarakat Iban, Tuak adalah minuman Tuhan dalam Pesta Gawai dan minuman itu adalah satu keperluan atau komponen penting dalam perayaan itu.


“Tapi kalau kita minum sampai mabuk dan melakukan perkara tidak baik ia memang tidak patut dan tidak betul. Mabuk bukan sahaja disebabkan oleh arak tapi juga disebabkan oleh benda lain.


“Oleh itu sifat baik dan tindakan manusia amat penting kerana arak boleh menyebabkan perkara tidak baik jika diminum secara berlebihan tetapi bagi masyarakat Iban, Tuak itu adalah budaya, tanpa tuak mana ada Gawai,” katanya.


Sehubungan itu Dr.Jayum menegaskan bahawa, hubungan baik antara kaum di negara ini amat penting agar mereka mengetahui sensitiviti masyarakat Borneo.


Katanya, masyarakat di Semenanjung perlu mengenali warisan budaya masyarakat Borneo (Sabah dan Sarawak) bagi mengelak ketegangan kaum apabila timbul isu-isu sensitif pada masa akan datang.


Dalam hal ini, pemimpin atau menteri-menteri dari Borneo dan Semenanjung perlu menjadi contoh dan teladan kepada rakyat.


"Mereka seharusnya bekerjasama antara satu sama lain untuk memperjuangkan nasib masyarakat secara keseluruhannya.


“Tetapi ada pemimpin yang hanya memperjuangkan kepentingan kaumnya sahaja kerana mereka risau kalah dalam pilihan raya dan ini tidak bagus untuk Malaysia.


“Oleh itu menteri-menteri di negara ini perlu mengubah minda mereka, selagi tiada perubahan, selagi itu mereka akan bersaing diantara satu sama lain,” katanya dan menambah seorang menteri bukan sekadar mewakili kaumnya sahaja tetapi mereka seharusnya mewakili seluruh rakyat negara ini tanpa mengira latarbelakang bangsa, agama dan kaum.


Comments


bottom of page