top of page

Ibu Bapa Perlu Luang Lebih Masa, Interaksi Bersama Anak

nabalunews

6 Oktober 2024


SEREMBAN: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menasihatkan ibu bapa agar memberikan lebih banyak masa dan tumpuan kepada anak-anak dengan berinteraksi secara aktif bagi membina hubungan kekeluargaan yang lebih erat dan harmoni.


Sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia), beliau menegaskan bahawa pendekatan ini bukan sahaja penting untuk mengeratkan hubungan keluarga, malah turut berperanan besar dalam menangani pelbagai isu kesihatan mental seperti kemurungan.


Menurutnya, masalah ini boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira umur, latar belakang, atau status sosial, dan langkah pencegahan awal melalui komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak-anak amat penting dalam memastikan kesejahteraan emosi keluarga.


"Masalah kemurungan naik dua kali ganda, sebagai individu kita perlu lihat bagaimana hendak menanganinya…lihat anak-anak terutamanya golongan muda, semua dengan handphone (telefon bimbit). Mereka (anak-anak) tidak dengan kita tetapi (berada) di alam maya.


"Sebagai ibu bapa, lihat juga bagaimana kita meluangkan masa dengan anak-anak. Kita juga dengan handphone (dan) tiada interaksi dengan mereka," katanya ketika berucap pada Program Cahaya Dhuha Sejahtera Jiwa di Masjid Sendayan di sini semalam.


Program anjuran Kasih Malaysia, Bakriyah Negeri Sembilan dan Masjid Sri Sendayan itu turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah) Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.


Terdahulu, Dr Wan Azizah bersama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat sunat dhuha dan bacaan Al-Mathurat Sughra di masjid itu.


Sementara itu, Wan Hasni berkata program tersebut diadakan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut 10 Okt setiap tahun sebagai usaha global untuk meningkatkan kesedaran isu berkaitan kesihatan mental.


Beliau berkata semua pihak dan organisasi perlu memahami dan menyokong isu berkaitan kesihatan mental serta berusaha menghapuskan stigma yang sering menghalang individu daripada mendapatkan bantuan.


“Semua pihak perlu menyedari bahawa masalah kesihatan mental tidak mengenal usia, latar belakang, atau status sosial, justeru usaha serta sokongan semua pihak amat diperlukan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page