IBU TUNGGAL BERSYUKUR DAPAT RUMAH PPRT
24 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
MANGGATAL: Nasib ibu tunggal lima anak dari Kampung Tenggiling Menggatal akhirnya terbela selepas menerima bantuan rumah daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.
Puan Rujiline Alip, 40, berkata, sebelum ini dia telah beberapa kali memohon rumah PPRT tetapi tidak berjaya.
"Syukur akhirnya saya dapat rumah yang lebih selesa. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick kerana meluluskan permohonan saya.
"Rumah ini sudah siap sepenuhnya dan bila-bila boleh masuk sebab air pun sudah ada, tinggal tunggu pemasangan meter elektrik lagi," katanya ketika dihubungi Nabalu News, di sini, hari ini.
Rujilie berkata, dengan adanya rumah itu, akan memberi keselesaan kepada mereka sekeluarga.
Sementara itu Ketua Bahagian Upko Sepanggar Datuk Wong Thien Fook berkata, UPKO Sepanggar amat gembira dan bersyukur atas usaha membantu Puan Rujiline Aip dan keluarga mendapatkan rumah PPRT.
"UPKO Sepanggar juga ingin menyampaikan jutaan terima kasih kepada bekas Menteri KPLB Sabah Datuk Ewon Benedick atas pertimbangan dan kelulusan yang diberikan sebelum ini.
"Selain itu, ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri ketika ini yang meneruskan usaha ini untuk diselesaikan dengan jayanya," katanya.
Wong berkata, kepentingan rakyat sentiasa diutamakan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan sebaiknya.
Wong bersama Ketua Pemuda UPKO Sepanggar Fardy Bunga meninjau rumah PPRT itu di Kampung Tenggiling.
Comments