• nabalunews

IMBUHAN KEPADA PEMBERI MAKLUMAT CURI ELEKTRIK, USIK METER - SESB



11 Mac 2021


KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan memberi imbuhan kepada pemberi maklumat kes kecurian elektrik dan usikan pepasangan meter dalam usaha mengekang jenayah itu daripada terus berleluasa.


Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Norhizami Abu Hasan berkata pemberian imbuhan ini melibatkan maklumat berkenaan dengan kes pengguna komersial serta industri dan pemberian itu khusus untuk orang awam sahaja.



“Pemberian imbuhan ini ditetapkan pada kadar lima peratus daripada jumlah tuntutan SESB kepada pesalah dengan maksimum RM1,000.


“Keselamatan pemberi maklumat akan terjamin dan pemberi maklumat hendaklah berhubung terus dengan Pengurus Zon, Pengurus Kawasan atau Pengurus Cawangan SESB,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata pembayaran imbuhan kepada pemberi maklumat akan dibuat setelah kes terbukti dan SESB memperoleh jumlah tuntutan yang sepenuhnya daripada pihak yang bersalah.



Norhizami berkata tindakan tidak bertanggungjawab mencuri elektrik dan mengusik meter boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada SESB malah boleh mengundang bahaya seperti litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran dan kemalangan elektrik.


“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat juga boleh terus melaporkan kepada pasukan petugas pengekangan kecurian tenaga elektrik SESB di talian 088-282778, 088-282779, atau 088-282771,” katanya. - Bernama