top of page
  • Wartawan Nabalu News

Individu dakwa waris Kesultanan Sulu, Hajiji gesa komuniti global tolak tuntutan tidak berasas


5 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Komuniti global diseru menolak tuntutan tidak berasas oleh individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, tuntutan tersebut bukan saja mengancam Malaysia, bahkan prinsip ketenteraman antarabangsa.


“Masyarakat antarabangsa memainkan peranan penting menyokong pendirian Malaysia dan kami berterima kasih atas solidariti yang memahami kepentingan menegakkan prinsip kedaulatan serta integriti wilayah," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial Edisi Sabah.


Menurut Hajiji, keputusan terkini Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda dan Mahkamah Rayuan Paris yang memihak kepada Malaysia membuktikan komitmen kerajaan melindungi hak, integriti dan kedaulatan Sabah.


"Kita sentiasa kekal dengan pendirian Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan keputusan mahkamah baru-baru ini mengukuhkan lagi kedudukan kita," jelas beliau.


Jelasnya, kerajaan Sabah tegas menolak final award yang dikeluarkan Dr Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 dan tidak mengiktiraf legitimasinya.


"Kita menganggapnya sebagai tidak berasas, tiada sebarang asas undang-undang dan sejarah serta sebagai satu cubaan merendahkan kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia, khususnya Sabah," kata beliau.


Sementara itu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kolokium ini menjelaskan bahawa kerajaan pusat tidak akan berdiam diri daripada memperjuangkan negara.


"Kita akan mempertahankan setiap inci tanah Malaysia ini, secebis harta benda, jangan digugat oleh mana-mana termasuk melalui sistem dan cara yang tidak mengikut garis panduan undang-undang," ujar beliau.


Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, Senator Dewan Negara, Tan Sri Anifah Aman, Duta Khas Sabah ke BIMP-EAGA Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud.


Kolokium yang dijalankan secara hibrid tersebut mempunyai tiga sesi perbincangan iaitu The Sulu Case: Discovering The Missing Puzzle Pieces, The Sulu Case : Time To Preserve Sovereign Immunity dan The Sulu Case : Its Effects On The New York Convention And The Global Arbitral System.

コメント


bottom of page