• Wartawan Nabalu News

Individu lengkap vaksin masuk Sabah tidak perlu kuarantin wajib



6 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Individu yang lengkap vaksinasi tidak perlu lagi kuarantin wajib untuk masuk ke Sabah kecuali bagi mereka yang tiba dari luar negara, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Majun.


Beliau berkata, kelonggaran tersebut adalah berdasarkan Standard Prosedur Operasi (SOP) terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah yang dikeluarkan kelmarin.


Berdasarkan SOP tersebut, kurantin wajib hanya bagi individu yang belum lengkap divaksin, individu yang bergejala sewaktu saringan di pintu masuk dan dari luar negara.


Bagaimanapun, individu yang lengkap vaksinasi perlu mendapat kebenaran polis untuk rentas negeri serta membuat ujian saringan Transkripsi Balikan -Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR) atau Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dan keputusan mestilah negatif.


Tempoh sah laku RTK-Ag adalah sehari dan RT-PCR adalah tiga hari sebelum perjalanan masuk ke Sabah dan ujian hendaklah disahkan oleh klinik atau makmal yang melakukan ujian Covid-19 tersebut.