Industri Jualan Langsung Malaysia Cecah RM34.4 Bilion
- nabalunews
- Mar 11
- 1 min read

11 Mac 2025
PUTRAJAYA: Sektor jualan langsung di negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus dengan nilai RM34.4 bilion pada tahun 2024 berbanding RM32.04 bilion pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh berkata, berdasarkan laporan World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA), Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan keenam dunia dan keempat di Asia Pasifik bagi industri jualan langsung dari 2020 hingga 2024.
Katanya, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara dengan penembusan pasaran tertinggi di peringkat global dengan kadar 2.28 peratus.
“Pengiktirafan ini mengangkat industri jualan langsung negara standing dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China, dan Jepun,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500) seiring dengan perkembangan industri negara dan secara global.
“Penambahbaikan akta secara komprehensif ini bertujuan menyesuaikan industri dengan perubahan dinamik pasaran masa kini serta memastikan ekosistem perniagaan lebih mampan, holistik dan beretika,” katanya.
Fuziah berkata, manifestasi KPDN untuk mengembangkan industri itu sejajar dengan aspirasi kerajaan melalui konsep Malaysia Madani untuk memperkukuh kemakmuran negara dengan perkongsian adil, saksama dan inklusif kepada semua.
“Kerajaan kekal optimis industri jualan langsung akan cemerlang dan berkembang secara holistik.
"Ia mampu mewujudkan peluang perniagaan, menjana pendapatan masyarakat serta memberi impak positif kepada pembangunan dan pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya.
Comments