Industri kreatif di Sabah perlu diperkasakan: Amisah
18 November 2024
KOTA KINABALU: Industri kreatif di Sabah sememangnya terkenal dengan kekayaan budaya dan bakat seni yang luar biasa namun sektor ini masih belum mencapai potensi sepenuhnya untuk memberi impak besar kepada ekonomi negeri dan masyarakatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata walaupun Sabah memiliki sumber manusia yang berbakat, kekurangan dasar yang kukuh dan kekangan ekosistem sokongan yang tersusun menjadi penghalang kepada perkembangan industri kreatif di negeri ini.
Sehubungan itu katanya, sebuah badan khusus yang bertindak sebagai "payung" perlu diwujudkan bagi mengurus dan menyokong pembangunan industri kreatif di Sabah, sama seperti peranan Lembaga Pelancongan Sabah dalam sektor pelancongan.
“Rakyat Sabah, khususnya golongan muda berbakat dalam seni persembahan, media kreatif, dan warisan budaya, memerlukan platform yang lebih efektif untuk mempamerkan bakat mereka.
"Kekurangan peluang ini menyebabkan aliran keluar bakat ke Semenanjung Malaysia dan luar negara,” katanya ketika membahaskan Ucapan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Amisah turut menyarankan agar kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan dasar-dasar strategik bagi menyokong industri kreatif.
Antara cadangan beliau ialah menyediakan program pendidikan dan latihan dalam bidang kreatif, memberi dana serta insentif kepada usahawan dan karyawan kreatif serta melindungi hak harta intelek untuk produk kreatif.
"Saya menyeru Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar; Kementerian Belia dan Sukan; serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk memberikan perhatian serius terhadap pembangunan sektor ini,” ujar Amisah.
Dalam pada itu, Amisah turut menyentuh isu perumahan, yang menjadi cabaran besar khususnya kepada generasi muda yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
Beliau menyeru Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan agar memastikan pelaksanaan 5,000 unit rumah mampu milik di bawah Skim Program Perumahan Rakyat (PPR) dapat memenuhi keperluan golongan B40 dan kumpulan berpendapatan rendah.
Beliau juga menggesa semakan semula terhadap agihan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), yang sebelum ini dikenali sebagai PPRT, kerana terdapat ketidakadilan dalam sistem pemilihan penerima.
“Sebilangan penerima dalam sistem e-Kasih bukan daripada golongan yang benar-benar memerlukan kerana mereka sudah memiliki rumah. Sistem ini perlu dikaji agar lebih adil dan menyasarkan golongan yang betul-betul memerlukan bantuan,” tegasnya.
Amisah turut menyeru kerajaan agar memberikan keutamaan kepada pembangunan Kampung Sembulan di Kota Kinabalu.
“Kita tidak mahu Kampung Sembulan hilang dari peta Kota Kinabalu. Projek Pembangunan Kampung Melayu Bumiputera Sembulan perlu direalisasikan sebagai kampung moden pertama untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera di Sabah,” katanya, sambil menegaskan kepentingan menjaga hak milik tanah penduduk di kawasan tersebut.
Sehubungan itu beliau berharap agar kerajaan negeri memberikan perhatian serius terhadap pembangunan industri kreatif dan penyelesaian isu perumahan di Sabah bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan negeri.
Comments