- Wartawan Nabalu News
Infineon yakin dengan ekosistem pelaburan Malaysia - Anwar

25 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Infineon Technologies AG menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem pelaburan Malaysia yang mencerminkan kedudukan negara ini sebagai hab penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Beliau berkata, syarikat antarabangsa itu telah melabur sebanyak RM28 bilion di Malaysia sejak beroperasi di sini selama 50 tahun dalam bidang pembuatan fabrikasi wafer di Kulim, Kedah dan pembungkusan semikonduktor cip di Melaka.
"Keyakinan berterusan Infineon terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global," katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr. Rutger Wijburg di Putrajaya semalam.
Jelas Anwar, keyakinan Infineon menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan fokus di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu yang bertujuan untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestic.
"Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada syarikat tersebut," katanya.