top of page
  • nabalunews

INGKAR ARAHAN PKPP: 203 ORANG DITAHAN DI PUSAT HIBURAN - ISMAIL SABRI


10 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Berhibur di pusat hiburan menjadi kesalahan tertinggi ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang direkodkan semalam, apabila seramai 203 orang ditahan atas kesalahan itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata secara keseluruhan, 528 individu ditahan semalam manakala tiga direman dengan kesalahan lain termasuk tidak memakai pelitup muka (149), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (101), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (73) dan lain-lain (2).

Dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Pemulihan hari ini, beliau berkata pihak berkuasa turut menahan 38 pendatang tanpa izin serta merampas tiga kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

Sementara itu, sejak 24 Julai 2020 hingga semalam, seramai 101,163 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dengan 7,892 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. - Bernama

bottom of page