top of page

Inisiatif Syarikat Pembekal Kuasa Bebas untuk bekalkan elektrik ke kawasan setinggan diperluas ke Sepanggar

nabalunews


17 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Pelaksanaan inisiatif Syarikat Pembekal Kuasa Bebas (IPD) dengan meter prabayar bagi mengatasi kegiatan penyambungan elektrik haram terutama di kawasan penempatan setinggan di Sabah akan diperluaskan ke beberapa kawasan penempatan setinggan di Sepanggar.


Ia berikutan kejayaan pelaksanaan projek yang mula diperkenalkan sejak Oktober tahun lalu di Kampung Forest, Sandakan, yang dilihat mampu mengatasi kerugian akibat kecurian elektrik.


Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, projek IPD amat berkesan sehingga masalah gangguan bekalan elektrik, vandalisme dan kualiti voltan rendah ekoran daripada isu penyambungan haram.


Katanya, projek IPD yang dilaksanakan di Kampung Forest, Sandakan, mencatat penjimatan mencecah RM327,000 melibatkan penggunaan 974 meter dengan bil terkini sebanyak RM36,000.


“Sejak dilaksanakan, projek IPD ini mencatat 974 pengguna di Kampung Forest, Sandakan dengan bil terkini sebanyak RM36,000 dan merekodkan penjimatan kos sehingga mencecah RM327,000.


“Jumlah ini membuktikan projek IPD amat berkesan dan penyelesaian kepada isu penyambungan haram yang amat merugikan SESB kerana tidak dapat mengutip hasil penggunaan elektrik,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media pada program SESB Vendor Day 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar.


Madius berkata, projek IPD ini akan dilaksanakan di kawasan penempatan yang sudah dikenal pasti antaranya Kampung Numbak, Kg Delima, Kg Suang Parai dan Kg Lokub di Sepanggar.


“Buat masa ini kita sedang mengenal pasti perihal kos dan jumlah keseluruhan yang diperlukan, sebaik data diperoleh projek ini akan mula dilaksana sekurang-kurangnya menjelang awal tahun hadapan.


“Terdapat sekurang-kurangnya 300 penempatan setinggan di Sabah dan SESB merancang untuk melaksanakan enam projek IPD setiap tahun dalam usaha mengurangkan kejadian gangguan dan kecurian bekalan elektrik di kawasan terbabit,” katanya.


Madius berkata, SESB sentiasa komited dalam menerapkan prinsip Environmental, Social, and Governance (ESG) dalam semua aspek operasi.


Katanya, ia juga adalah salah satu inisiatif penting bagi menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa industri tempatan serta memastikan bekalan tenaga yang mampan dan berdaya tahan.


“Kita tidak boleh lari daripada cabaran yang dihadapi industri tenaga, terutamanya masalah sambungan haram yang menjadi ancaman besar kerana ktiviti ini bukan sahaja menjejaskan kewangan SESB, tetapi lebih penting lagi, ia menimbulkan risiko keselamatan kepada masyarakat,” katanya.

Comments


bottom of page