top of page

Insiden Kekecohan Segelintir Warga Palestin Bukan Alasan Hantar Mereka Pulang

  • nabalunews
  • Oct 6, 2024
  • 1 min read

6 Oktober 2024


SINTOK: Insiden kekecohan yang melibatkan sekumpulan warga Palestin di Wisma Transit, Kuala Lumpur, bersama anggota keselamatan baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghantar mereka pulang ke tanah air.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa tindakan sedemikian tidak masuk akal terutamanya ketika negara mereka sedang dilanda konflik dan peperangan yang berlarutan.


Saifuddin turut menyeru agar rakyat Malaysia bersikap lebih bijaksana dan tidak membuat kesimpulan umum berdasarkan insiden tunggal tersebut

dan tidak menyalahkan warga Palestin secara keseluruhannya.


“Apa yang penting kita cari penyelesaian bagaimana undang-undang sedia ada boleh kita guna pakai untuk disesuaikan dengan keberadaan mereka di sini, itu yang paling penting.


“KDN (Kementerian Dalam Negeri) bersedia untuk memberikan kerjasama kerana akta yang berkaitan (untuk mereka berada di negara ini) di bawah kawal selia kita.


“Ia berkaitan dengan jenis pas yang sesuai untuk mereka berada di sini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, semalam, lapor Bernama.


Sebelum ini video memaparkan beberapa warga Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur melakukan kekecohan, tular dalam media sosial.


Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata keputusan kerajaan untuk membawa warga Palestin yang cedera khususnya kanak-kanak ekoran perang di negara mereka adalah sebagai komitmen kemanusiaan.


Beliau berkata insiden kekecohan itu tercetus disebabkan segelintir daripada mereka yang tidak berpuas hati kerana diletakkan di pusat perlindungan berkenaan dan pergerakan mereka dihadkan.


“Keberadaan mereka di sini pada asalnya untuk dirawat, jadi pas yang dikeluarkan sesuai untuk tujuan itu. Jadi, pada peringkat KDN sebenarnya kita telah berbincang untuk mencari jalan membawa cadangan supaya KDN keluarkan pas bersesuaian,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page