- Wartawan Nabalu News
Ismail Sabri ada peluang beri respon kepada keperluan reform - Ewon

21 Ogos 2021 Oleh Wartawan Nabalu News PENAMPANG: Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Dato Sri Ismail Sabri mempunyai peluang untuk memberi respon kepada keperluan reform dalam menangani krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick berkata, Perdana Menteri baharu mempunyai pilihan untuk membuat yang lebih baik bagi menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang dihadapi negara. “Beliau juga ada pilihan yang lebih baik untuk melaksanakan reform dan pembaharuan dalam urustadbir negara. Banyak yang perlu diperbaiki dengan segera kerana keadaan kritikal sekarang menuntut pembaharuan segera,” katanya. Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, dalam kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (di mana Ismail Sabri merupakan Menteri Kanan), sense of urgency tidak kelihatan ketika negara berhadapan dengan keadan krisis yang kritikal. “Yang ada cuma kecepatan bertindak jika ianya berkaitan dengan kedudukan politik mereka. “Reform dan pembaharuan perlu dimulakan dari awal, bukannya di penghujung tempoh kepimpinan atau pada ketika rakyat sudah mulai mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri. “Parti-parti pembangkang telah mengemukakan cadangan keperluan reform seawal Mac tahun ini sebagai respon kepada krisis kesihatan, ekonomi dan politik negara. Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja juga telah mengeluarkan titah dan kenyataan. Ismail Sabri berpeluang memberi respon yang lebih baik daripada Muhyiddin kepada keperluan reform dan titah diraja ini,” katanya. Ewon berkata, sebagai Adun yang duduk di kerusi pembangkang, beliau akan meneruskan amanah memastikan semak dan imbang dibuat ke atas Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan serta Ketua Menteri dan kerajaan negeri yang ada sekarang.