top of page

Isu air dan elektrik, lebih baik satu hati cari penyelesaian: Ewon

Wartawan Nabalu News
Ewon bersama pegawai kanan YBR melawat dan menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk di Kg.Penampang Proper.

19 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Para pemimpin di Sabah disaran supaya bersatu hati mencari jalan penyelesaian isu bekalan air dan elektrik di negeri ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, rakyat memerlukan kepimpinan yang tegas dan boleh mencari penyelesaian isu-isu rakyat bukannya mencari kesilapan atau kesalahan.


“Soal tunding menunding jari ini kita perlu hentikan, pada masa ini kita patut bersatu hati membantu rakyat yang berhadapan dengan masalah air dan elektrik.


“Apa yang kita perlukan adalah peruntukan, bukan soal siapa silap dan siapa benarnya. Rakyat memerlukan kepimpinan yang boleh mencari penyelesaian masalah.

“Itu sebabnya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah telah mengadakan satu sesi perjumpaan khas dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meminta beliau menyediakan peruntukan tambahan yang besar kepada Sabah untuk membantu menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik serta jaringan jalan raya di Sabah.


“Saya memilih untuk mencari penyelesaian dan membawa rakan saya dalam PH mencari penyelesaian daripada kita tunding menunding kerana pendekatan tunding menunding jari tidak akan membawa penyelesaian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Bantu Sekolah” Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada semua sekolah dalam kawasan Parlimen Penampang, di Dewan SM St.Micheal Penampang, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UKO) berkata, beliau juga telah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet yang lepas.


“Saya amat yakin, bila Perdana Menteri berkunjung ke Sabah dalam beberapa minggu ini, beliau akan mengumumkan sesuatu yang baik untuk Sabah terutamanya melibatkan peruntukan tambahan.


“Secara prinsipnya, Perdana Menteri telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan tambahan kepada Sabah untuk menyelesaikan masalah seperti air, elektirk dan jaringan jalan raya,” katanya.


Selepas majlis itu, Ewon bersama pegawai kanan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan pemimpin masyarakat melawat seterusnya menyampaikan sumbangan YBR berupa kerusi roda boleh laras kepada seorang penduduk di Kg.Penampang Proper.


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengetua Cemerlang SM St.Micheal Penampang Jennifer Asing.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page