top of page
  • nabalunews

JABATAN KESIHATAN SABAH DISARAN LANCAR KEMPEN CEGAH BUNUH DIRI


26 NOV 2020


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) disarankan supaya melancarkan kempen pencegahan bunuh diri COVID-19 yang dikenali sebagai ‘Save Life Hotline’, kata ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api Datuk Christina Liew.


Beliau yang juga bekas timbalan ketua menteri Sabah berkata cadangan talian untuk menyelamatkan nyawa itu dapat melengkapkan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS).

Liew terpanggil membuat cadangan itu berikutan kejadian cubaan bunuh diri oleh seorang remaja perempuan yang berjaya diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah pada Rabu.


“Talian itu akan dikendalikan oleh kaunselor profesional dengan menyediakan khidmat kaunseling atau memberi cadangan lebih baik kepada mereka yang mengalami kesulitan khususnya kehilagan pekerjaan dan memerlukan bantuan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


“Mereka yang tertekan perlu mendapatkan bantuan profesional, sama ada dari segi emosi atau sokongan sosial, nasihat, bantuan kewangan atau rawatan kesihatan mental tertentu dalam situasi gelombang ketiga pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Liew, keadaan semasa adalah membimbangkan berikutan insiden pada Rabu adalah kes ketiga di ibu negeri itu sejak 18 Nov dengan dua kejadian sebelumnya membabitkan kematian akibat bunuh diri.


“Ini isyarat jelas kepada pihak berkuasa menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dan individu terdesak memerlukan bantuan segera. Kempen pencegahan bunuh diri COVID-19 dapat membentuk kesedaran bahawa hidup ini bernilai dan membunuh diri bukan jalan pintas untuk membebaskan diri daripada masalah.


“Lebih penting, bunuh diri dapat dicegah sekiranya bantuan tersedia kepada mereka yang mempunyai niat membunuh diri. Mereka perlu tahu bahawa adanya masyarakat penyanyang yang sedia mendengar dan mengambil berat dan akan menolong mereka hingga tidak perlu mengakhiri hidup dengan cara mengerikan,” katanya.


Liew turut meminta ibu bapa dan penjaga agar memantau pergerakan anak-anak mereka terutama ketika mereka tidak berada di sekolah.


“Kita perlu bekerjasama untuk mencegah cubaan membunuh diri dalam kalangan orang muda. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengatasi tingkah laku membunuh diri. Perhatikan masalah anak-anak atau keperluan untuk menyelamatkan nyawa.


“Ini dapat dilakukan jika ibu bapa mengenali tanda-tanda bunuh diri seperti perasaan putus asa, membicarakan tentang kematian dan kemurungan,” katanya.


Katanya, orang awam juga digalakkan menggunakan perkhidmatan kaunseling percuma ditawarkan yang dua badan bukan kerajaan (NGO) di talian bantuan Befriender’s Free Confidential Emotional 016-8036945 pada 7 hingga 10 malam dan talian Kawan Bah’s 012-7753020 setiap hari. - Bernama

bottom of page