top of page

Jabatan Peguam Negara fail notis rayuan pembebasan Syed Saddiq

  • nabalunews
  • Jun 26, 2025
  • 1 min read

26 Jun 2025


KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, AGC menegaskan proses rayuan itu merupakan sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah.


“Ia adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.


“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” jelasnya.


Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada Rabu melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan berkaitan kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).


Pertuduhan itu melibatkan satu kes subahat pecah amanah membabitkan dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000, serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing berjumlah RM50,000.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan bekas Presiden MUDA itu terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page